Takkan Motor Tak Ada Penutup Rantai Pun Kena Saman?

MEMBACA kisah seorang penunggang motosikal disaman kerana memakai visor helmet gelap beberapa minggu lalu pantas mengingatkan abang kepada insiden serupa yang berlaku lebih 20 tahun lalu. Kesalahan abang bukanlah kerana memakai helmet bervisor gelap, tetapi menunggang motosikal tanpa penutup rantai. Kelakarkan?

Terus teringat pula cerita seorang kawan abang yang disaman kerana tidak pasang pelekat pemantul cahaya di belakang helmet. Tuan-tuan jangan tak tahu, lama sebelum motosikal disyaratkan memasang lampu, penunggang negara kita terlebih dahulu diwajibkan memasang pelekat reflektor yang melintang sepanjang belakang helmet. Untuk keselamatan katanya.

Mujurlah ketika itu belum ada Internet dan Facebook. Kalau tidak, mahu popular juga cerita dan muka abang dimuat naik segala macam portal berita berstatus nyamuk dan gajah. Akhirnya semua cerita saman penutup rantai dan helmet tiada reflektor itu tinggal menjadi kenangan-kenangan lawak sesama kami setiap kali mengimbas memori zaman remaja dulu.

Sekarang, abang pun tidak tahu sama ada masih ada polis yang akan menyaman penunggang motosikal tanpa penutup rantai dan reflektor helmet.

TENTANG ABANG POLIS

Pasal polis? Tidak perlulah dijelaskan lagi betapa dendamnya kami terhadap polis selepas insiden berkenaan, lebih-lebih lagi polis ‘berkuda putih’. Apakah sudah tertulis, mat motor dan polis memang tidak ditakdirkan untuk berbaik sangka? Apapun, rasanya, tidak perlulah abang ceritakan semula segala persepsi, pandangan dan tohmahan yang berlegar dalam sanubari pengguna jalan raya macam abang ini.

Namun, apabila menginjak dewasa dan menempuh beberapa fasa kesedaran. Dan mula belajar bertenang dan bersabar, apa yang menimpa baru-baru ini itu bukanlah hal yang mengejutkan abang sangat pun kerana insidennya masih sama, cuma jalan cerita berbeza.

Cuma apa yang perlu abang katakan, polis pun tetap manusia biasa seperti kita juga. Tiada apa yang perlu ditakutkan sangat pun. Ada masa mereka OK, dan ada masa kurang OK sama ada melibatkan pe’el, prestasi kerja dan masalah rumah tangga serta ekonomi. Sama saja macam kita semua. Namun, hakikat yang perlu kita faham, tugas mereka sebagai pihak berkuasa tetap perlu dihormati. Alah, senang cerita, sama macam kita jugalah yang mahukan orang lain hormat apa kita buat.

Bayangkan kita kerani kaunter sedang bercakap dengan pelanggan yang langsung tidak mahu bertentang mata, pakai cermin mata hitam, dan ada hati pula nak sogok kita macam-macam. Cakap pula bukan main eksyen! Hah, ingat kita ni apa? Lekeh dan sengkek sangat ke? Cer jawab!

PERLU SENI DIPLOMASI

Sebab itulah perlunya ilmu diplomasi dan seni memujuk kerana polis juga sejenis makhluk bernama manusia. Lainlah suatu hari nanti Kerajaan buat keputusan melantik robot serupa Robocop sebagai polis. Ketika itu, jangan haraplah boleh nego tepi. Bawa 80kmj atas jalan biasa pun boleh kena saman gamaknya.

Sebagai manusia yang berperasaan, memang wajiblah kita melayan mereka, yakni abang-abang polis kita, dengan penuh hemah, hikmah dan bijaksana. Setidak-tidaknya apabila kita berhemah, maka ada budi bicara dan ruang diplomasi di situ. Tetapi, kalau sudah itu ketentuan kesalahan kita, apa boleh buat. Orang putih cakap, move on!

Lainlah apa yang disaman itu memang sahih tidak termaktub dalam undang-undang. Misalnya, disaman kerana menyanyi lagu Aiman Tino ketika menunggang. Hah, kalau kena saman macam itu, barulah sedap sikit nak lantik peguam ke mahkamah.

TIP DIPLOMASI DAN AMBIL HATI

 

Sekarang abang kongsikan tip yang boleh pembaca semua amalkan apabila melalui sekatan jalan raya (road block) ataupun ditahan tiba-tiba abang polis dan disuruh ke tepi. Simple sangat je pun. Tapi itulah, orang kita ni sejak sudah pandai menyebut pasal hak asasi, ada saja mahu dibantah dan dibalun.

1. Apabila dihampiri polis, atau melintas road block, biasakan turunkan cermin tingkap kereta. Jika menunggang motosikal, silalah buka visor helmet. Senyumlah sikit, muka tu jangan cuak sangat.

2. Kebiasaannya, pihak polis yang akan mula dulu bercakap. Mereka akan bertanya apakah kita tahu kesalahan dilakukan. Jawablah dengan nada suara yang sopan dan jelas.

3. Jika tahu ada buat salah, cakap saja minta maaf. Jika tidak tahu, cakap tidak tahu dan tuan polis akan beritahu apa kesalahan yang dilakukan kita.

4. Selepas diberitahu, dan kita pula tidak tahu itu satu kesalahan, kita boleh saja berbincang dan berdiplomasi dengan abang polis sambil tidak lupa memohon maaf. Contoh ayat: “Serius tuan, saya memang tak tau tak pakai cover rantai tu salah. Kalau tau, confirm saya pakai. Saya memang minta maaf sangat. Saya betul-betul tak tau ni.”

5. Panggil abang polis dengan panggilan tuan, atau encik. Elakkan panggil bos atau abang. Tidak semua orang selesa dengan gelaran tersebut. Silap haribulan dibalas, bila aku jadi bos hang? Bila aku menikah dengan kak hang?

6. Jangan sogok apa-apa atau beri sebarang isyarat hendak menyogok sama ada secara lisan, atau fizikal. Jaga integriti dan tanggungjawab.

7. Jika perbincangan dan diplomasi tidak menjadi, kita sepatutnya akur jika pihak polis masih berkeras mahu menyaman. Tidak perlu sebarang provokasi. Tunggu saja hari diskaun, dan turun bayar saman. Simple!

SUMBER:GEDEBAKVIRAL

ADAKAH ANDA TAHU MAKSUD NOMBOR 786 YANG SERING KITA TEMUI DI KEDAI MAMAK?

MAKSUD NOMBOR 786 YANG SERING KITA TEMUI DI KEDAI MAMAK

Dalam saya melayari forum di internet baru-baru ini,saya dapati sehingga hari ini masih ada yang terkeliru mengenai angka 786 yang dikatakan membawa maksud Basmalah (Bismillahi-Rahmani-Rahim).

ASAL USUL ANGKA 786

Perlu untuk kita lihat dari mana asal-usul angka 786 ini.Nombor 786 ialah jumlah beberapa nilai dari huruf-huruf basamalah. Cara mengiraan ini dikenal dengan kaedah Abjad,iaitu memberi nilai-nilai arithmetik kepada huruf-huruf tersebut.

Menurut Dr. Muzammil H. Siddiqi, bekas Presiden ISNA,ia dicipta pada Abad ke 3 Hijrah semasa zaman Abbasiyyah, dan banyak digunakan dinegara-negara Pakistan dan India.[1]

Perkara yang sama juga turut dinyatakan dalam sebuah laman web anti-hadis, yang saya rasa tak perlulah saya sertakan URL-nya memandangkan ianya sesat lagi menyesatkan.

Menurut laman tersebut,menggantikan Basmalah dengan angka 786 adalah bertujuan mengelakkan menulis Basmalah dan ayat Quran lain di atas kertas biasa.(to avoid writing the name of Allah or the Qur’anic ayah on ordinary papers.)

RASULULLAH TIDAK PERNAH MENGGUNAKAN ANGKA 786 MENGGANTIKAN BISMILLAH

Rasulullah SAW tidak pernah menggantikan kalimah Bismallah dengan apa-apa nombor. Begitu juga generasi salaf.

Dakwaan yang mengatakan kalimah tersebut diganti bertujuan untuk memelihara kesuciannya (ditulis di kertas-kertas,disentuh orang bukan Islam etc.) adalah tidak masuk akal.

Jika ianya benar,mengapa Rasulullah SAW satu ketika dahulu masih mengutus surat yang mengandungi ayat Al- Quran kepada Heraclius.[2]
Tidakkah Baginda risau akan ayat Quran yang diutuskan pada mereka yang bukan Muslim?.

Nombor 786 tetap bermakna 786 dan tidak lebih dari itu.
Allah swt atau Nabi SAW mengajar kita sesuatu, mereka melakukan dengan cara yang paling jelas,jauh dari teka-teki dan nombor-nombor misteri.

Usaha yang dilakukan oleh orang-orang Islam bagi mengira huruf dan menghubungkannya dengan nombor tiadalah manfaatnya melainkan membazir masa.
Adakala mereka melakukan dengan tujuan baik bagi menunjukkan agama kita hebat. Sesungguhnya agama amat hebat dan ia tidak memerlukan cara yang salah ini”. [6]

FATWA NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM

Keputusan fatwa negeri Johor Darul Takzim mengenai Hukum mempercayai dan menyakini bahawa angka 786 adalah bermaksud Bismillahi Rahmani Rahim menyatakan yang ianya adalah satu kepercayaan yang salah dan bertentangan dengan aqidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah dalam syariah serta akhlak Islam.

Juga dinyatakan perbuatan ini juga termasuk di dalam golongan mereka yang mentafsirkan Al-Qur’an mengikut hawa nafsu,tidak berdasarkan kepada ilmu dan displin-displinnya serta tidak mendapat hidayah Allah S.W.T. Semua diminta untuk menghentikan kepercayaan dan penggunaannya serta merta. [7]

KESIMPULAN

Dalam setiap urusan agama hendaklah berpandukan sumber Al-Quran dan Hadis yang Sahih.
Mengantikan ayat-ayat suci dengan angka-angka nyata tak membawa apa-apa makna dan faedah malah dalam pengkhususan hukum bacaan Al-Quran pembaca yang hanya menyebut angka-angka tidak memperolehi apa-apa manfaat dari bacaannya.

Setiap kali muncul sesuatu yang dirasakan aneh rujuklah dari mana sumbernya kerana musuh-musuh Islam dan Dajjal-Dajjal sentiasa berusaha menyesatkan pemahaman umat Islam.

SUMBER:GEDEBAKVIRAL

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*