Enam Sekeluarga Terpaksa Tinggal Bawah Jejambat Lebuhraya MRR2 Di Pandan Perdana

Pasangan suami isteri ini bersama empat anak mereka sudah tinggal di bawah jejambat MRR2 laluan Pandan Perdana dengan berbekalkan sebuah khemah, dapur memasak dan beberapa barang peribadi serta keperluan asas sejak dua bulan lalu.

Menurut si bapa, Jeffry Husin, 41, kerana gagal membayar tunggakan sewa rumah di flat kos rendah kawasan itu, mereka sekeluarga telah diusir. Keluarga berkenaan akan memasak dan makan di bawah jejambat itu setiap hari.

Kecederaan yang dialami pada tulang belakang selepas berlaku kemalangan pada tahun 2006 menyebabkan tangannya lemah di bahagian kiri.

Disebabkan itu, Jeffry terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan setahun yang lalu. Semenjak itu, Jeffry tidak mempunyai pekerjaan tetap dan ada kalanya dia mendapat wang hasil dari menjual barangan terpakai.

Sebelum dihalau keluar oleh tuan rumah itu, Jeffry bersama isterinya, Siti Nor Sazila Zakaria, 30, dan empat orang anak mereka berusia dalam lingkungan 9 bulan hingga lapan tahun sudah menyewa rumah tersebut sejak 11 tahun lalu.

Dia yang masih perlu ke hospital mendapatkan rawatan mempunyai masalah untuk membayar sewa rumah memandangkan setiap minggu perlu membayar kos rawatan terapi.

Bayaran sewa rumah saya tertunggak, jadi saya mahu bayar RM200 dahulu tetapi tuan rumah enggan menerimanya.

Saya hanya mampu bayar separuh duit kos rawatan di hospital dan masih perlukan wang sebanyak RM150 seminggu untuk kos ubat serta rawatan terapi.”

Menurutnya, sebelum diusir dari rumah sewa itu, setiap hari tuan rumah akan datang dan menjerit-jerit memanggil nama mereka. Kini, mereka sekeluarga terpaksa tinggal di bawah jejambat dengan persekitaran tidak bersih menyebabkan anak bongsunya kerap demam.

Demi keselamatan dan menjaga kesihatan anak-anaknya, Jeffry akan menghantar mereka ke rumah kakaknya untuk menumpang tidur pada waktu malam.

Namun, difahamkan, keluarga itu telah menerima bantuan wang serta barangan keperluan dari wakil rakyat kawasan tersebut. Malah, wakil rakyat itu juga dikatakan telah menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mencari rumah buat keluarga Jeffry.

Pihak Zakat Selangor yang mendapat berita tentang keluarga ini dilaporkan telah membantu Jeffry membayar deposit sewa serta bantuan sewa rumah bulanan sementara mendapat pekerjaan. Zakat Selangor turut memberi bantuan pendidikan untuk empat anaknya.

Seorang netizen yang baik hati dikatakan turut memberi sumbangan selain menawarkan pekerjaan kepada Jeffry sebaik sahaja mereka tinggal di rumah baru itu nanti.

Diharap lebih ramai keluarga kurang bernasib baik dan kurang berkemampuan diberi bantuan seperti ini.

sumber:lobakmerah

[ Artikel Berkaitan ]
(Viral) Anak setinggan raih RM4,000 sebulan. Bak Kata Pepatah, Hendak Seribu Daya Tak Nak Seribu Dalih!!

 

GUA MUSANG – Dibesarkan di kawasan setinggan di Kampung Tiong, di sini, mendorong seorang anak muda menceburkan diri sebagai usahawan.

Bagi pemilik kedai runcit, Seven-T Gua Musang Shop, Suzihan Sulaiman, 28, yang kini menetap di kawasan Program Pembangunan Masyarakat Setempat (PPMS) Kesedar Sejahtera sejak enam tahun lalu, kehidupan di setinggan banyak mengajarnya erti bersyukur.

Katanya, membesar di kawasan serba kekurangan di usia kecil, pengalaman itu menjadikannya sentiasa meletakkan diri di bawah tanpa mendabik dada.

“Saya membesar dengan serba kekurangan bersama enam adik beradik lain. Pada 2011, arwah bapa saya dapat tawaran berpindah ke PPMS Kesedar Sejahtera. Alhamdulillah, di sinilah kehidupan kami berubah.

“Sebelum ini, saya pernah kerja di KFC dan Marrybrown serta Watson. Dalam masa sama, saya uruskan kedai runcit secara kecil-kecilan di rumah.

“Pada 2012, saya mendapat bantuan geran daripada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) sebanyak RM10,000 dan dapat menambah baik kedai biarpun terpaksa menambah duit sendiri dalam amaun sama,” katanya.

Tambah Suzihan, dengan pertambahan penduduk di kawasan berkenaan, dari keuntungan RM20 sehari, kini dia mampu meraih pendapatan bersih lebih RM4,000 sebulan.

Katanya, setiap dua atau tiga hari, bekalan jualannya perlu ditambah atas permintaan tinggi masyarakat setempat.

“Dulu, penduduk di sini tak ramai. Tapi kini, dah bertambah dan permintaan tinggi. Saya ada ramai pelanggan tetap yang mendapatkan bekalan harian di kedai saya.

“Dari segi harga, saya akan pastikan ia di tahap berpatutan. Malah, jualan aiskrim di kedai saya amat menggalakkan di mana bekalan aiskrim RM400 licin dalam tempoh dua atau tiga hari sahaja,” katanya.

Menurutnya, sepanjang mengusahakan kedai itu, pendapatan harian paling tinggi sebanyak RM2,300.

“Sepanjang saya mengusahakan kedai ini, pendapatan kasar yang paling tinggi saya dapat dalam masa sehari adalah RM2,300 pada malam Aidilfitri, baru-baru ini.

“Jika hari biasa, hasil jualan tidak pernah kurang dari RM1,000,” katanya.

Raikan kanak-kanak

Pernah bekerja di Watson, cara pengendalian kedai runcit Suzihan juga lebih sistematik dan teratur di mana cara susunan barang lebih kemas.

Katanya, pengalaman bekerja di kedai serbaneka itu banyak dipraktikkan di kedai runcitnya demi kepuasan pelanggan di mana pelanggan tidak perlu bersusah payah mencari barang keperluan yang diperlukan.

“Walaupun hanya kedai runcit di kawasan pedalaman, saya menitikberatkan soal kebersihan dan pengurusan kedai. Ianya demi kepuasan pelanggan.

“Selain itu, setiap bulan saya akan menyediakan makanan percuma kepada kanak-kanak di sini kerana saya tahu kebanyakan mereka bukanlah orang senang.

“Kebiasaannya saya sediakan dalam bentuk ‘goodies’ dalam 200 beg dan sedekahkan kepada mereka. Saya lihat mereka seperti bayangan saya ketika di setinggan dulu. Betapa seronoknya bila dapat makanan percuma,” katanya.

Melihat permintaan tinggi pelanggan, Suzihan berkata, dia ingin membesarkan kedainya yang kini sempit untuk memuatkan barangan tambahan.

“Kalau boleh, saya teringin memiliki kedai yang lebih besar dan selesa demi pelanggan. Untuk menambah baik kedai, saya memerlukan RM20,000.

“Pendapatan kini hanya untuk pusingan modal dan membantu keluarga kerana kami sudah tiada ibu bapa tempat bergantung. Semuanya kami uruskan sendiri.

“Insya-ALLAH, saya akan berusaha ke arah itu sekali gus membawa keluarga keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya.

sumber : sinarharian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*