Zul Ariffin & Zahirah Macwilson – Sudah lebih sebulan putus???Nape?

‘Sudah lebih sebulan putus’

BUKIT FRASER: Aktor, Zul Ariffin, mengesahkan hubungan cintanya dengan pelakon, Zahirah Macwilson, 23, sudah terlerai sejak lebih sebulan lalu.

Bintang berusia 31 tahun itu berkata, sejak tahun lalu, ramai yang sudah mengetahui mengenai perhubungan mereka yang bagai ada pasang surutnya.

“Sudah putus. Gelombang hubungan kami sudah diketahui ramai sejak tahun lalu. Diakui, hubungan kami ada masanya putus dan bersambung semula dalam tempoh berkenaan.

“Sebab itu, saya hanya memberi ‘samar bayangan’ jika ada yang bertanya.

“Hari ini, saya mahu menegaskan, perhubungan itu sudah berakhir dan tidak mungkin bertaut kembali. Jika masih meneruskan hubungan, bermakna saya menganiayai diri sendiri.

“Tiada apa yang mahu disembunyikan lagi,” katanya kepada BH Online ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Misteri Dilaila arahan Syafiq Yusof di Bukit Fraser.

Krisis hubungan Zul dan Zahirah bagaikan tiada penghujung apabila beberapa isu meletus sepanjang percintaan mereka. Ia termasuk kontroversi mengaitkan aktres jelita itu sebagai ‘orang ketiga’ dalam kemelut perhubungan Kamal Adli dan Emma Maembong, tahun lalu.

Bapa Zahirah, Zainol Macwilson, juga dilaporkan tidak memberikan restu andai anaknya bercinta dengan aktor itu.

Bagaimanapun, pelakon Tombiruo dan J Revolusi itu sebelum ini dilihat masih terus mempertahankan hubungan yang sudah terjalin sejak tiga tahun lalu.

Aktor yang mencipta populariti menerusi drama Rindu Awak 200% dan Titian Cinta itu berkata, dia tidak kecewa dengan perpisahan yang berlaku.

“Kecewa, tidak…! Kalau melihat orang ‘berselfie’ dengan gembira kira-kira 20 meter dari jenazah ibu tanpa rasa sensitif, inikah orang yang layak dibuat pasangan hidup?

“Itulah perasaan saya ketika melihat Zahirah seronok ‘berselfie’ bersama seorang teman berdekatan jenazah arwah ibu saya ketika dalam masjid.

“Ada beberapa saksi melihatnya, termasuk saya yang ketika itu mahu membuka penutup muka untuk mencium arwah ibu buat kali terakhir.

“Menyampah memandangnya, tetapi saya masih meneruskan hubungan. Saya tidak kejam dan tetap memaafkannya,” katanya yang kehilangan ibu tercinta, Robiah Nasir, 5 Disember lalu.

Zul berkata, dia reda apabila kepincangan hubungan yang berpanjangan tidak mampu dipulihkan lagi.

“Saya tentunya mengharapkan ketenangan dan kebahagiaan dalam membina hubungan cinta.

“Jika terlalu banyak mengganggu kerja dan menjejaskan kehidupan peribadi, tiada guna untuk terus mempertahankannya. Tiada apa yang perlu saya kenangkan lagi,” katanya.

Sumber: apechite

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *